suria

Jangan Keliru Dokumen 20 Perkara - Shafie Apdal

RAUB: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta semua pihak tidak terkeliru dengan dokumen 20 Perkara bagi melindungi Sabah berikutan pembentukan Malaysia pada 1963.

Katanya perkara tersebut perlu dijelaskan kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak supaya mereka memahami perkara yang termaktub dalam dokumen 20 Perkara berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan Persekutuan terus berusaha untuk mengimbangkan pembangunan dan kemajuan secara sama rata di Semenanjung, Sabah dan Sarawak supaya rakyat dapat menerimanya tanpa halangan.

"Saya berharap pemimpin Umno perlu turun padang memberikan penerangan agar rakyat tidak terkeliru dengan tohmahan pembangkang yang membangkitkan isu itu bagi mengelirukan rakyat terutamanya menjelang pilihanraya umum ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan 'Raub Challenge' di Kampung Pamah Kulat, di sini, Khamis.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kandungan dan semangat dokumen 20 Perkara adalah sah dan relevan hingga bila-bila kerana ia termaktub dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan. -BERNAMA

Artikel Lain