suria

Empat Pegawai Didakwa Kemuka Butiran Palsu Berhubung Pembayaran Tiket Kapal Terbang

KUALA LUMPUR: Empat pegawai Yayasan Pelajaran Mara(YPM), masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis terhadap pertuduhan mengemukakan butiran palsu berhubung pembayaran tiket kapal terbang, dua tahun lepas.

Keempat-empat tertuduh iaitu Pengurus Unit Penyelaras YPM-Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT) Noraidah Johar, 43; Penolong Pengurus Kewangan, Unit Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi III, Muhammad Suhaimi Ismail, 44; Penolong Pengurus Pentadbiran dan Perjawatan, Zolkefli Mohd Ali, 48; dan Penolong Pengurus Hal Ehwal Pelajar dan Akademik, Nurmawati Redzwan, 46.

Kesemua tertuduh didakwa menggunakan dua dokumen yang mengandungi butiran palsu iaitu Ringkasan Borang Tuntutan Perbelanjaan/Penyelesaian Pendahuluan Lawatan Rasmi Bulan April 2010 dan Resit Rasmi Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd tanpa tarikh berjumlah RM12,125.

Mereka didakwa mengesahkan dan mengaku membayar RM12,125 bagi tiket kapal terbang kelas perniagaan pergi-balik ke Jepun yang mana jumlah sebenar adalah RM3,500 iaitu kelas ekonomi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Kewangan, Unit Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi, Yayasan Pelajaran Mara, antara 18 Mei 2010 dan 3 Jun 2010, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan kesemua mereka dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport diserah ke mahkamah.

Beliau menetapkan 14 Jun untuk sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke manakala keempat-empat mereka diwakili Azrul Z. Stork. -BERNAMA

Artikel Lain