suria

Cadangan Tahanan ISA Warga Asing Dihantar Pulang Akan Dibincang - Suhakam

TAIPING: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mencadangkan supaya kesemua tahanan warga asing di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipindahkan ke negara masing-masing dan perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam berkata suruhanjaya itu mengutus surat kepada Ketua Setiausaha KDN Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi bagi mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

"Kesemua 25 tahanan warga asing mahu dihantar balik ke negara masing-masing dan menjalani hukuman di sana atas apa juga kesalahan yang didakwa terhadap mereka," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Terdahulu, beliau mengetuai delegasi Suhakam mengadakan perjumpaan selama dua jam dengan kesemua tahanan ISA di Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting di sini.

Beliau berkata Suhakam juga berjumpa dengan pihak Kedutaan dan Pejabat Suruhanjaya Tinggi antaranya Sri Lanka, Indonesia, Iraq dan India di negara ini bagi memaklumkan situasi tahanan warga asing berkenaan.

"Hari ini dua wakil Kedutaan Indonesia dan seorang wakil Pejabat Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka telah hadir dan semalam ada wakil Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pakistan berjumpa tahanan warganya di sini. Wakil Pejabat Suruhanjaya Tinggi India dan Kedutaan Iraq juga dijangka akan berjumpa tahanan negara masing-masing selepas ini," katanya.

Nayagam berkata kesemua wakil kedutaan itu akan berbincang dengan kerajaan masing-masing mengenai pertemuan itu.

Beliau berkata Suhakam juga akan mengadakan perbincangan meja bulat bersama mana-mana agensi, badan bukan kerajaan dan pihak berkenaan mengenai isu tahanan ISA supaya ada kesinambungan usaha untuk mereka.

Katanya semua isu berkaitan tahanan ISA perlu dibincangkan secara perbincangan bersama kerana isu besar yang melibatkan kesemua tahanan adalah pembebasan mereka.

Mengenai perjumpaan dengan kesemua 45 tahanan ISA hari ini, Nayagam berkata Suhakam memaklumkan kepada mereka mengenai usaha suruhanjaya itu berhubung isu yang dihadapi.

"Tahanan yang melakukan tindakan mogok lapar sebelum ini juga telah berhenti sepenuhnya kerana masih ada harapan dengan usaha yang dilaksanakan Suhakam," katanya.

Seramai 45 tahanan di bawah ISA masih menjalani proses pemulihan di Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting di sini dengan 20 tahanan adalah warga tempatan.

Pada 9 Mei lepas, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Rang Undang-undang yang dibahagikan kepada lapan bahagian itu dibentang ekoran pemansuhan ISA 1960 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada September tahun lepas. BERNAMA

Artikel Lain