suria

Tipu: Bekas Pegawai Syarikat Pelaburan Didenda RM20,000

SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai syarikat pelaburan dikenakan hukuman denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis selepas mengaku bersalah menipu lima individu dalam pelaburan mata wang emas menyebabkan kerugian lebih RM121,000, lima tahun lepas.

Hakim Aslam Zainuddin turut memerintahkan tertuduh, Wan Mohamed Wan Zin, 44, dikenakan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Wan Mohamed sebelum ini mengaku tidak bersalah dan dibicarakan atas tuduhan sama.

Sepanjang perbicaraan, seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan di akhir kes pendakwaan, mahkamah memutuskan supaya tertuduh dipanggil membela diri.

Bagaimanapun, Wan Mohamed yang sepatutnya memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan menukar pengakuannya kepada bersalah.

Tertuduh yang semasa kejadian bertugas sebagai pegawai Syarikat SMI-Q Resources Sdn Bhd didakwa memperdaya lima pelabur untuk membuat pelaburan dalam mata wang 'Kijang Emas Gold Bullion Coins' yang menjanjikan pulangan pelaburan tinggi.

Perbuatannya itu menyebabkan wang sejumlah RM121,860.90 dibayar ke akaun syarikat SMI-Q Resources.

Wan Mohamed didakwa melakukan kesalahan di No:139-1A, Pusat Niaga Batu Caves, Batu Caves dekat sini, antara 30 April 2007 dan 30 Mei 2008.

Kesalahan di bawah Seksyen 366 (3) Akta Syarikat 1965 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Mohamad Azies Khan Mohd Fadzil sementara tertuduh diwakili peguam Aminuddin Mohd Ramli. - BERNAMA

Artikel Lain