suria

PM Harap MITE 2012 Jadi Pameran Pelancongan Terbaik

SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Malaysia International Tourism Exchange (MITE) 2012, akan muncul sebagai pameran pelancongan terbaik di rantau ini ataupun dunia.

Najib berkata dengan sasaran untuk secara strategiknya mengumpulkan vendor dan pembekal perkhidmatan di bawah satu bumbung untuk meneroka dan meraih peluang daripada industri pelancongan dunia, MITE juga membuka pintu kepada pelabur berpotensi untuk menimbangkan Malaysia sebagai ruang pelaburan dalam perniagaan berkaitan pelancongan.

"Dalam hubungan ini, MITE tentunya mewujudkan landasan bagi perangkaian dan kerjasama dari segi pembangunan perkhidmatan sokongan tambah nilai dan perkongsian idea," katanya pada pelancaran MITE 2012 di sini Khamis.

Turut hadir ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Acara empat hari itu menarik lebih 600 pempamer dari 33 negara, 120 pembeli khusus dari 23 negara dengan jangkaan 600,000 pengunjung.

Perdana Menteri berkata impak pelancongan terhadap kehidupan ramai rakyat Malaysia tidak boleh diperkecil, kerana terdapat sejumlah besar tenaga kerja yang terlibat dalam sektor-sektor yang menyumbang sama ada secara langsung atau tidak langsung terhadap industri pelancongan.

"Pelancongan merangkumi pelbagai aktiviti. Ia merupakan suatu kelompok perkhidmatan yang berkait, tetapi berasingan, daripada perkhidmatan pengangkutan, penginapan, penyediaan makanan, rekreasi, runcit hinggalah kepada pelbagai bentuk aktiviti lain.

"Tanpa perantara yang kreatif seperti pengusaha pelancongan, agensi pelancongan dan profesional pemasaran untuk mengadakan pakej-pakej yang inovatif, pelancongan sebagai sebuah industri tidak mungkin boleh berjaya," katanya.

Najib berjata sektor pelancongan yang efisien dan kompetitif akan akhirnya diterjemah ke dalam peningkatan luas dari segi ekonomi, terutama dengan kemasukan pelaburan sektor swasta yang mahu memanfaatkan pasaran lumayan dan yang kian berkembang ini.

Bukan sahaja peningkatan peranan sektor swasta yang penting, katanya, tetapi juga keseluruhan ekosistem dalam negara ini harus digerakkan sepenuhnya ke arah menjadikan pelancongan sebagai industri yang mendapat sokongan keseluruhan masyarakat.

Jika anda melawat sesebuah negara dan anda disambut mesra olah pegawai imigresen dan pemandu teksi yang tidak bermuram dan merungut tentang bermacam-macam perkara, dan anda diberi pula kemudahan tandas yang sungguh bersih, semua ini adalah antara perkara yang benar-benar menjadikan Malaysia pengeluar utama pelancongan global, kata Najib.

"Kita semua perlu bekerjasama, tidak cukup dengan hanya mempunyai Menteri Pelancongan yang penuh bersemangat tapi kita semua juga harus sama-sama bersemangat.

"Kita boleh melakukan pelbagai bentuk promosi yang menarik dan pemasaran yang baik tetapi mereka yang melalui pengalaman melawat sama ada untuk tujuan perniagaan atau berseronok atau untuk suka-suka, mereka semua haruslah merasai pengalaman yang indah mengenai Malaysia dan tiada yang lebih teruk selain pelawat yang balik ke negara mereka dan merungut mengenai kita, katanya.

Perdana menteri berkata dalam hal ini, semua pihak harus memastikan Malaysia ialah sebuah negara yang aman, bebas daripada keganasan, menghormati peraturan undang-undang, dan rakyat harus menunaikan komitmen mereka kepada komuniti antarabangsa.

"Saya amat yakin bahawa kita boleh komited dan bekerjasama erat, dan di bawah semangat 1Malaysia, kita akan mencapai pelbagai kemungkinan yang tiada penghujungnya," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain