suria

Malaysia Negara Islam Yang Wajar Diteladani - Senator Amerika

KUALA LUMPUR: Dua senator Amerika menyifatkan Malaysia sebagai negara Islam contoh, yang mempamerkan kejayaan mengagumkan dalam bidang ekonomi dan sosial.

Senator John McCain dan Senator Joseph Lieberman, yang dalam rangka lawatan ke negara ini berkata mereka kagum dengan pembangunan di Malaysia, terutama dalam bidang keusahawanan dan amalan perniagaan bebas.

"Kami sungguh kagum dengan semangat keusahawanan, sistem harga yang lebih bebas di sini serta proses ekonomi yang dapat kami lihat dan amat bangga kerana berpeluang berkunjung ke sini," kata McCain pada sidang akhbar bersama dengan Lieberman di sini, Khamis.

Mereka dalam rangka kunjungan ke Malaysia dari 30 Mei hingga esok atas jemputan Majlis Perniagaan Malaysia untuk menghadiri persidangan Invest Malaysia 2012, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Semalam, mereka melakukan kunjungan hormat terhadap Najib dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta mengadakan perjumpaan dengan para peneraju perniagaan, pemimpin masyarakat sivil dan anggota parti pembangkang untuk membincangkan pelbagai isu. McCain berkata Amerika ingin melihat pilihan raya di Malaysia diadakan secara adil dan bebas.

"Kami percaya ia akan berlaku pada bulan-bulan akan datang. Kami sedar terdapat beberapa isu berkaitan pilihan raya, termasuk cadangan 22 perkara... kami akan melakukan segala yang termampu untuk membantu dan memastikan pilihan raya ini diadakan secara bebas dan adil," kata McCain, yang mewakili kawasan Arizona.

Pada April, Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya membentangkan laporan akhirnya di Dewan Rakyat dengan menyenaraikan 22 syor untuk dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menambah baik proses pilihan raya di negara ini.

Lieberman menyatakan harapannya agar Malaysia membenarkan pemerhati antarabangsa memantau perjalanan pilihan raya umum akan datang.

"Saya dimaklumkan bahawa kerajaan Malaysia telah menubuhkan jawatankuasa penambahbaikan pilihan raya dan melantik beberapa orang bebas untuk memantau pilihan raya apabila ia diadakan dan ini merupakan langkah ke hadapan yang sungguh konstruktif serta penting," katanya.

Mengenai isu berasingan, dua senator itu sependapat bahawa perilaku pemimpin Syria Bashar Al-Assad serta pembunuhan kanak-kanak dan wanita secara beramai-ramai merupakan satu perbuatan hina.

"Memang memalukan apabila Majlis Keselamatan Bangsa Bersatu sekali lagi dihalang Rusia dan China melalui kuasa veto mereka daripada mengambil tindakan terhadap Syria dan adalah sesuatu yang memalukan bagi Amerika apabila ia enggan mempamerkan kepimpinan serta menghulurkan bantuan kepada rakyat Syria," kata McCain.

Mengenai isu peningkatan kuasa ketenteraan oleh China dan pertelingkahan berkaitan Laut China Selatan, McCain dan Lieberman berkata Amerika tidak berhasrat untuk terlibat dalam sebarang bentuk konfrontasi dengan China, tetapi bimbang tentang aspek tertentu berkaitan perilaku China, khususnya berkaitan perairan yang bermasalah itu.

Pertikaian mengenai Laut China Selatan dianggap perkara yang boleh mencetuskan sengketa paling berbahaya di Asia apabila Republik Rakyat China dan Republik China mendakwa hampir keseluruhan lautan itu menjadi milik mereka.

Tuntutan itu kelihatan bertindih dengan beberapa negara lain di rantau ini termasuk Indonesia, Taiwan, Filipina, Brunei, Malaysia, Singapura, Kemboja dan Thailand. -BERNAMA

Artikel Lain