suria

Mahkamah Tinggi Kekalkan Pembebasan Bekas Ketua Pengarah Imigresen Daripada Tuduhan Rasuah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mengekalkan keputusan pembebasan bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don daripada tuduhan menerima rasuah melibatkan wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 15 Oktober 2010, yang melepaskan dan membebaskan Wahid daripada pertuduhan itu.

Dalam keputusannya, Mohamed Zabidin berkata mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak tersalah arah dalam membuat keputusan tersebut.

"Saya setuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Rayuan ditolak dan keputusan dikekalkan," katanya.

Pada 15 Oktober 2010, Hakim Mahkamah Sesyen Rosbiahanin Ariffin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Wahid, 59, didakwa menerima rasuah itu daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian, pada 10 Julai 2008 sebagai bayaran upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki negara ini.

Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta, pada pukul 10.15 malam hari berkenaan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 17 Ogos 2009, pihak pendakwaan telah memanggil 40 saksi termasuk bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar, Low dan beberapa ejen pekerja asing.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas mendengar keputusan hakim, Wahid menyatakan rasa syukur atas keputusan tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan moral kepadanya.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Ketua Pendakwaan SPRM Datuk Abdul Razak Musa manakala Wahid diwakili peguam Datuk V. Sithambaram. - BERNAMA

Artikel Lain