suria

Lima Lelaki Dituduh Culik Peguam

KUALA LUMPUR: Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Rabu, atas tuduhan menculik seorang peguam dan menuntut tebusan RM150,000 tiga minggu lepas.

Broker kereta Tan Weng Leong, 28, R.Gokula Kannan, 29, dan S.Kathiravan, 28, kedua-duanya joki kereta, serta peniaga Mohamad Fahmy Mohd Daud, 38, dan Tan Kok Kuen, 35, hanya mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibaca kepada mereka dalam Bahasa Melayu di hadapan majistret Syahdatul Kamilah Zakaria.

Tiada pengakuan dicatat dan mahkamah menetapkan 30 Julai untuk sebutan kes.

Mereka dituduh bersama dua suspek lain yang masih bebas, menculik Jason Leong Wai Meng, 35, di hadapan Relax World Food Court, G20-21, First Residence Unggul, Jalan Mutiara 1, di sini pada tengah malam 12 Mei.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Tertuduh menghadapi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne, manakala Weng Leong diwakili peguam Zaleha Al-Hayat, Kathiravan oleh peguam V.Ravichandran dan Kok Kuen oleh peguam K.L.Yong.

Dua lagi tertuduh, Gokula Kannan dan Mohamad Fahmy, tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain