suria

Lelaki Nyaris Maut Kereta Terjunam Dari Jalan Bertingkat Di George Town

GEORGE TOWN: Seorang lelaki nyaris maut apabila pacuan empat roda yang dipandunya terjunam dari jalan bertingkat berhampiran bulatan Tunku Kudin menghala ke Bayan Lepas, di sini, Khamis.

Jurucakap bahagian trafik negeri berkata dalam kejadian pukul 2.40 petang, pemandu berusia 20-an itu gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh besi pembahagi jalan sebelum terjunam ke laluan bawah Jalan Sultan Azlan Shah.

"Semasa kejadian, hujan renyai dan lelaki itu pula memandu laju, mujurlah tiada kenderaan lain yang melalui jalan itu ketika itu," katanya kepada pemberita.

Sebuah jentera bomba turut dikejarkan ke tempat kejadian dan anggota penyelamat terpaksa memotong sebahagian kereta berkenaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Lain