suria

KDN Siarkan Rakaman Perhimpunan Bersih Dua Hari Lagi

PUTRAJAYA: Kompilasi rakaman video kejadian yang berlaku semasa perhimpunan Bersih, 28 April lepas, akan siap dalam dua hari lagi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata video itu akan diedarkan kepada media dan dimuat naik ke dalam laman web kementerian itu sebaik ia siap.

Rakaman video itu mengandungi visual "baik, buruk dan jelek", yang diterima hasil sumbangan banyak pihak yang merakamkan kejadian itu.

"Ia merupakan rakaman yang sah. Tiada teknik pertindihan atau (visual yang diambil hanya) dari sudut-sudut tertentu. "Saya mahu orang ramai melihatnya dari perspektif yang betul kerana ada video yang dihasilkan (daripada peristiwa ini) yang molek-molek belaka pada masa dan tempat tertentu, untuk memberikan gambaran yang dimahukan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan Ketua Operasi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Alain Aeschlimann. Katanya terpulang kepada orang ramai bagaimana mereka mahu menerima video itu kerana beliau "tahu ada mereka yang begitu taksub dan prejudis, apa kita cakap pun takkan dipercayai."

Tetapi Hishammuddin yakin majoriti rakyat di luar sana yang cintakan keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam, akan menerimanya dengan baik.

Ditanya sama ada siasatan yang dijalankan Suruhajaya Hak Asasi (Suhakam) akan mengelirukan orang ramai kerana telah ada panel ditubuhkan untuk menyiasat perhimpunan itu, Hishammuddin berkata beliau tidak bimbang kerana apa jua saluran yang digunakan, ia perlu memberitahu orang ramai apa yang sebenarnya berlaku.

"Yang saya mahu lihat dalam konteks Bersih ini ialah mereka yang salah tetap salah, dan akan dihadapkan ke mahkamah dan muka pengadilan, tapi pada masa yg sama kita mahukan pembelaan pada sesiapa sahaja yang teraniaya.

"Kita tak boleh ubah fakta dan hakikat dan itulah yang kita hendak ketengahkan. Kalau tidak, ia dipesongkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan mereka," katanya.

Artikel Lain