suria

Karpal Singh Fail Permohonan Batal Pertuduhan Terhadap Dirinya

KUALA LUMPUR: Karpal Singh, pada Rabu, memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya kerana membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak, tiga tahun lepas.

Permohonan, yang disertakan dengan afidavit sokongan oleh peguam itu, difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini.

Karpal Singh juga mengemukakan salinan permohonan itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Azman Abdullah, yang dijadual mendengar pembelaannya atas tuduhan itu Rabu.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Julai ini untuk mendengar permohonan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin dan Azlina Rasdi memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa dua minggu untuk membalas notis usul dan afidavit sokongan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

Karpal Singh dalam notis usulnya memohon perintah bahawa budi bicara pendakwaan mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk menuduhnya mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 berkonflik dengan perlindungan kesamarataan undang-undang yang mana tertuduh dijamin di bawah peruntukkan Artikel 8(1) Perlembagaan Persekutuan, dengan itu menyebabkan prosiding terhadapnya 'void ab initio' (tak sah).

Antara alasan permohonannya itu ialah walaupun pendakwa raya mempunyai budi bicara pendakwaan namum budi bicara itu menganggu perlindungan kesamarataan undang-undang yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Karpal Singh mendakwa budi bicara itu yang digunapakai oleh pihak pendakwa raya telah menyebabkan dirinya dinafikan perlindungan kesamarataan undang-undang yang dijamin di bawah Artikel 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya apa yang dinyatakan dalam pertuduhan adalah jauh kurang daripada apa yang dinyatakan, bertentangan dengan seksyen 4 Akta Hasutan, oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun), Menteri-Menteri dan ahli-ahli lain di Dewan Rakyat semasa debat Akta Perlembagaan, 1993 dari 30 Mac, 1993.

Oleh itu beliau mendakwa terdapat diskriminasi yang jelas terhadap pendakwaannya, walaupun terdapat perlanggaran serius dan jelas Akta Hasutan oleh perdana menteri ketika itu Menteri-Menteri dan ahli-ahli lain di Dewan Rakyat.

Karpal Singh mendakwa ini menyebabkan budi bicara pendakwaan untuk menuduhnya di bawah Akta Hasutan adalah 'benar-benar cacat' yang menyebabkan pendakwaan terhadapnya adalah tidak berperlembagaan memandangkan tertuduh telah dinafikan perlindungan kesamarataan undang-undang yang dijamin dibawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Memandangkan keadaan ini, kemungkinan besar tidak diberi pertimbangan yang wajar dan adil oleh peguam negara. Pertuduhan terhadap tertuduh adalah satu pembatalan dan harus dibatalkan dengan serta merta," katanya.

Pada 20 Jan lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan Karpal Singh membela diri terhadap pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan beliau pada akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya membela diri.

Pada 11 Jun tahun 2010, Hakim Mahkamah Tinggi Azman melepas dan membebaskan Karpal Singh daripada tuduhan mengeluarkan perkataan fitnah tanpa memerintahkannya membela diri.

Karpal Singh, 72, dituduh mengeluarkan perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari, 2009.

Beliau didakwa telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain