suria

Hotel Bajet Dijadikan Markas Bungkus Dadah

JERANTUT: Dua rakan didapati menjadikan bilik hotel bajet di bandar ini sebagai markas untuk membungkus dadah.

Kedua-duanya yang berusia 31 tahun yang dipercayai aktif mengedar dadah di daerah ini sejak tiga bulan lalu diberkas, Selasa.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azid Ismail berkata mereka ditahan kira-kira 6 petang di sebuah bilik hotel bajet dan polis menemui 16.2 gram heroin, 0.5 ketulan kristal disyaki syabu dan lima biji pil Eramine 5 bersama alat timbang dan plastik untuk membungkus dadah.

"Polis turut menemui wang tunai sejumlah RM768 dipercayai hasil daripada kegiatan penjualan dadah," katanya di sini hari ini. Kedua-dua suspek berasal dari Kampung Mela, Kuala Lipis kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang suri rumah ditahan selepas didapati terbabit dalam kegiatan menjual nombor ekor haram. Suri rumah bersia 50 tahun itu menjadikan rumahnya di Taman Berlian di sini sebagai pusat operasi pertaruhan nombor ekor haram sejak lima tahun lepas.

"Dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang menerusi Ops Dadu oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, pihak polis turut merampas satu mesin faksimili, kertas mencatat nombor ekor haram, wang tunai RM107 dan alat-alat tulis yang digunakan untuk mencatat nombor pertaruhan," kata Azid.

Suri rumah terbabit didapati meraih pendapatan melebihi RM1,000 untuk setiap pertaruhan nombor ekor haram, katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - BERNAMA

Artikel Lain