suria

Dua Ejen Hartanah Disamun Sebanyak RM25,000

SEREMBAN: Dua ejen hartanah kerugian wang tunai RM25,000 apabila disamun sekumpulan penjenayah di Jalan Rasah berhampiran Plaza Tol Port Dickson-Seremban di sini Rabu.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, kedua-dua mangsa yang berusia 30 dan 31 tahun baru mengeluarkan sejumlah wang tunai di sebuah bank di Rasah.

"Selepas mengeluarkan wang tersebut, mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish kemudiannya memandu menuju ke Seremban 2.

"Bagaimanapun, ketika mangsa baru melepasi lampu isyarat di Jalan Rasah, kenderaan mangsa secara tiba-tiba dihimpit oleh dua buah kereta jenis Honda Accord dan Volkswagen.

"Beberapa lelaki yang bertopeng kemudiannya turun dari kereta itu dan terus memecahkan cermin tingkap di bahagian penumpang serta merampas wang tunai di dalam beg yang dipegang mangsa," katanya di sini Khamis.

Saiful Azly berkata mangsa yang terkejut dengan kejadian itu cuba melawan tetapi dipukul oleh kumpulan lelaki berkenaan dengan objek tumpul sehingga menyebabkan kepalanya berdarah.

Katanya selepas mengambil wang tersebut, kesemua suspek melarikan diri dan membiarkan mangsa.

"Mangsa yang cedera kemudiannya mendapat rawatan di hospital sebelum membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata polis sedang mengesan dan mengenal pasti para suspek. - BERNAMA

Artikel Lain