suria

Dayak Sarawak Akan Dapat Nikmat Program Transformasi Kerajaan

KUCHING: Masyarakat Dayak di Sarawak bakal mendapat nikmat melalui penyertaan mereka dalam program transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Khamis.

Beliau berkata segala program transformasi yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan dapat dilaksanakan tanpa gangguan jika rakyat bersama-sama mengekalkan keamanan dan kestabilan negara.

Dalam perutusannya sempena sambutan Gawai yang akan diraikan mulai Sabtu, beliau berkata peluang masyarakat Dayak untuk memajukan diri sedia terbuka melalui usaha transformasi ini.

Katanya keakraban hubungan di antara kerajaan negeri dan persekutuan telah berjaya memperhebat pelaksanaan pembangunan di Sarawak.

"Saya dan seluruh rakyat Sarawak menghargai lawatan-lawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang banyak berkunjung ke kawasan pedalaman di Sarawak untuk melihat sendiri keadaan serta meluluskan peruntukan untuk membiayai pembangunan," katanya.

"Marilah kita sama-sama bergerak supaya jangan kehilangan peluang berkecimpung dalam peluang-peluang baru, sanggup bersaing menggunakan bakat yang canggih dan pengurusan yang positif," katanya.

Menurutnya kerajaan negeri sedang memperhebat latihan-latihan untuk tenaga kerja mahir dan separuh mahir bagi mengisi peluang pekerjaan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Masa hadapan Sarawak banyak bergantung kepada pembangunan dalam kawasan SCORE yang kini sudah dirancang serta disusun rapi dan sekarang mampu menarik pelaburan melebihi RM33 bilion," kata Taib. - BERNAMA

Artikel Lain