suria

PTPTN Tanggung Hutang RM24 Bilion Menjelang 2020 - PKR

PETALING JAYA: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa jumlah hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjelang 2020 adalah sebanyak RM24 bilion sekiranya kerajaan gagal menyediakan model pendidikan tinggi negara yang lebih stabil.

Jelas beliau, berdasarkan kutipan hutang PTPTN bagi tempoh 1997 hingga 2010 iaitu hanya sebanyak RM2.22 bilion, pihaknya menjangkakan bebanan hutang yang makin meningkat itu bakal ditanggung pembayar cukai.

"Jika model yang mendepankan pendidikan tinggi swasta yang bakal menelan belanja RM24 bilion setahun menjelang 2020 tidak mampu dibayar balik oleh rakyat seperti mana rekod setakat ini, siapakah yang akan menanggung hutang PTPTN ini suatu hari kelak?

"Persoalan hutang yang bakal ditanggung PTPTN ini juga membawa dimensi baru dalam polemik model pendidikan tinggi negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Menurut Mohd Rafizi, berdasarkan sistem sedia ada pihaknya menjangkakan unjuran jumlah hutang terkumpul bagi tahun mendatang yang akan diluluskan kerajaan menjelang 2020 adalah RM177 bilion.

Katanya lagi, berdasarkan rekod semasa peningkatan jumlah hutang yang diluluskan kerajaan antara 2005 hingga 2010 bagi pelajar IPTA dan IPTS adalah masing-masing 10 peratus dan 17 peratus setiap tahun.

Tambah Mohd Rafizi sekiranya trend berkenaan diteruskan, jumlah pinjaman sebanyak RM2.6 bilion dan RM3.5 bilion yang diberikan kepada IPTA dan IPTS akan meningkat kepada RM7 bilion dan RM17 bilion menjelang 2020.

Sebelum ini pembangkang menegaskan akan melaksanakan polisi pendidikan percuma termasuk pembinaan universiti teknikal, yuran pengajian IPTA ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan pembiayaan elaun sara hidup serta yuran di IPTS tidak akan dikenakan faedah.

Dalam perkembangan lain Mohd Rafizi memberitahu bahawa beliau menerima notis hadir memberi keterangan di Bank Negara Malaysia (BNM) untuk disiasat di bawah Seksyen 87(1)(a) Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989 kerana mendedahkan maklumat perbankan syarikat National Fidlot Corporation (NFCorp) berhubung isu kontroversi Pusat Fidlot Nasional (PFN).

Beliau bagaimanapun menyifatkan siasatan itu sebagai tekanan terhadapnya bagi menutup skandal NFCorp milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Tindakan memanggil saya untuk soal siasat memberi gambaran seolah-olah pihak berkuasa seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Bank Negara tidak mengalu-alukan tindakan proaktif rakyat biasa seperti saya untuk mendedahkan penyelewengan dan rasuah yang berleluasa di Malaysia," katanya sambil memalumkan akan hadir ke BNM pada pukul 2.30 ptg Rabu.

Artikel Berikut

Artikel Lain