suria

Premis Perniagaan Runcit Musnah Terbakar, Peniaga Rugi RM760,000

PEKAN: Sebuah premis perniagaan runcit yang diusaha sejak 50 tahun lepas, musnah dalam satu kebakaran di kampung Mengkasar, Pekan mengakibatkan kerugian RM760,000.

Pemilik perniagaan itu, Ismail Ibrahim, 37, berkata dalam kejadian 4 petang semalam itu, beliau dan isteri, Norashikin Abdul Hamid, 39, serta tiga pekerja mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Sebelum kejadian, saya dan isteri sedang minum petang sebaik saja selesai menerima bekalan barangan dapur yang dihantar, sebelum terdengar bunyi letupan kecil dari stor," katanya ketika ditemui di sini.

Sejurus selepas itu katanya api mula merebak dengan pantas dan gagal dipadamkan dengan alat pemadam api.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Ab Rahman Safi berkata tiga jentera bersama 24 anggota dikejar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Kebakaran berjaya dikawal dalam masa sejam dan punca kejadian masih disiasat, katanya ketika dihubungi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain