suria

Polis Tahan 4 Lelaki, Serbu 'Lubuk' Sindiket Curi Kenderaan

SHAH ALAM: Polis menyerbu sebuah kilang lama yang menjadi 'lubuk' satu sindiket curi kenderaan dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas di Simpang Empat, Taiping di Perak dan menahan empat anggota sindiket berkenaan pada Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata dalam serbuan itu polis turut menemui 800 pintu lori dan kereta yang telah dileraikan, 16 buah kereta dan 27 buah lori yang dicuri dan disembunyikan di premis berkenaan.

"Serbuan di premis itu adalah rentetan daripada kejadian sebuah lori tiga tan yang dicuri di Rawang pada hari yang sama kira-kira pukul 4 pagi. Pemilik lori yang menyedari kenderaannya dicuri mengikut lori berkenaan dan memaklumkannya kepada polis.

"Mangsa bersama anggota polis mengikut lori itu yang dipandu sehingga ke Taiping dan ditinggalkan. Pemantauan polis seterusnya mendapati tiga kenderaan lain datang bersama beberapa lelaki dan mengambil lori berkenaan yang dibawa ke premis di Simpang Empat," katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Selasa.

Thaiveegan berkata sebaik tiba di premis itu polis menyerbu dan menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 20 dan 31 tahun yang dipercayai anggota sindiket berkenaan serta seorang lelaki warganegara Bangladesh yang sedang meleraikan beberapa komponen kenderaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan berselindung disebalik premis yang tidak terurus dan seperti ditinggalkan bagi mengelirukan pihak berkuasa serta kesemua kenderaan dipercayai dicuri di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, nilai keseluruhan kenderaan yang ditemui dalam serbuan itu dianggarkan lebih RM1 juta.

Thaiveegan berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

"Kita juga sedang menyiasat pemilik premis berkenaan dan melihat beberapa laporan kehilangan kenderaan yang dibuat sebelum ini," katanya.

Beliau berkata polis masih menjejaki 10 individu yang dipercayai dapat membantu siasatan kes itu dan sedang meneliti kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket curi kenderaan bernilai jutaan ringgit yang ditumpaskan Februari lepas hasil serbuan di sebuah premis di Kampung Air Putih, Simpang di Perak. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain