suria

Polis Rampas Dadah Bernilai RM325,500, Seorang Warga Iran Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah disyaki syabu dengan anggaran nilai pasaran RM325,500 berikutan penahanan seorang lelaki warga Iran di pusat bandar Puchong, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superitendan Abdul Razak Elias berkata, polis yang melakukan intipan selama empat jam di kawasan itu, menahan lelaki berumur 40 tahun itu di dalam sebuah kereta.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta yang dipandu lelaki itu, polis menemui satu beg kertas berwarna coklat di tempat duduk penumpang bahagian belakang, yang mengandungi dua bungkusan berisi bahan kristal disyaki dadah syabu seberat 2,011 gram," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Abdul Razak berkata, siasatan lanjut terhadap lelaki itu membawa polis ke sebuah kondominium yang disewanya di ibu negara.

"Di kondominium itu, kami merampas dadah, disyaki syabu seberat 150 gram, alat penimbang dan sekeping pasport milik suspek. Kami juga merampas kereta dan lesen memandu negara Iran miliknya," katanya.

Abdul Razak berkata, semakan pasport menunjukkan suspek, yang juga pelajar institut pengajian tinggi swasta di ibu negara, memasuki negara ini pada penghujung tahun lepas.

"Pasportnya sudah tamat tempoh," katanya.

Menurutnya, bekalan dadah itu dipercayai mahu diagihkan kepada rakan-rakan di institut pengajian terbabit dan di sekitar Lembah Klang.

Abdul Razak berkata, kegiatan itu disyaki bermula dua bulan lepas dan suspek menggunakan rumah yang disewa RM2,000 sebulan itu sebagai lokasi pembungkusan dadah.

Beliau menarik perhatian bahawa dadah yang dirampas itu, sekiranya terlepas ke pasaran, boleh digunakan 7,000 orang.

Suspek direman sehingga Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain