suria

Polis Johor Tubuh Pasukan Khas Siasat Kenyataan Nizar

JOHOR BAHARU: Polis Johor menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kenyataan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berhubung bidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pihaknya menerima lapan laporan berhubung perkara itu sehingga petang ini, dan siasatan akan dilakukan mengikut Akta Hasutan.

"Polis akan melengkapkan kertas siasatan selepas kita meneliti laporan berkenaan dan akan memajukannya kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi, Rabu.

Beliau turut menasihatkan mana-mana pihak agar sentiasa menghormati undang-undang negara dan tidak membuat sebarang kenyataan tidak berasas.

Kelmarin, Mohamad Nizar menerusi akaun Twitternya menyebut Sultan Johor menyalah guna wang rakyat dalam pembelian nombor plat WWW 1 berharga RM520,000.

Sementara itu, Pemuda Umno Johor meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap Mohamad Nizar atau sesiapa sahaja yang menyokong perbuatan fitnah terhadap Sultan Ibrahim melalui respon dalam laman Tweeter, Facebook atau mana-mana media.

Ketuanya, Mohd Fadil Muskon berkata segala peruntukan undang-undang hendaklah digunakan dengan tegas ke atas mereka yang terlibat sebagai teladan supaya kejadian sama tidak berulang.

"Pemuda Umno Johor dengan tegas menganggap perkara ini adalah fitnah dan biadap terhadap baginda Sultan Johor. Ini adalah hasutan kepada rakyat untuk mencemuh institusi diraja keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sentral.

Terdahulu, Pemuda Umno Johor Baharu yang dipimpin ketuanya, Khalid Mohamed bersama 20 badan bukan kerajaan (NGO) di bandar raya ini, turut membuat laporan di balai sama berhubung isu itu.

NGO terbabit, termasuk Persatuan Pesara Kerajaan, Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa, Kelab Rakan Muda dan Persatuan Sahabat, turut membawa sepanduk yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Mohamad Nizar berhubung kenyataannya itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain