suria

MAS Sahkan Tiada Perubahan Lembaga Pengarah Dan Pengurusan

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines mengesahkan bahawa pada ketika ini, tidak berlaku sebarang perubahan pegawai dalam struktur pengurusan dan Lembaga Pengarah.

Dalam satu kenyataan, ia berkata sekiranya berlaku sebarang perubahan kepada situasi semasa, satu pengumuman sewajarnya akan dibuat kepada semua pemegang saham berikutan sebarang keputusan yang dibuat.

Ia membuat kenyataan ini berikutan satu laporan berita tentang kemungkinan berlaku perubahan pada peringkat pengurusan dan Lembaga Pengarah dalam Malaysia Airlines.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Malaysia Airlines mengumumkan bahawa ia menerima penyerahan pesawat A380 pertamanya, sekali gus menjadi pengendali kelapan pesawat terbesar dan paling mesra alam di dunia.

Pesawat itu diserah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya, oleh Ketua Pegawai Operasi Airbus, Fabrice Bregier di Toulouse hari ini dan dijangka tiba di pangkalan syarikat penerbangan nasional Malaysia itu di Kuala Lumpur, esok.

"Pesawat A380 mempamerkan penawaran produk dan perkhidmatan premium terbaru kami, Ini akan menjadi pesawat utama terbaru kami, yang menawarkan tahap keselesaan, kemewahan dan kemudahan yang lebih tinggi bagi perjalanan jarak jauh.

"Dengan kumpulan pesawat A380 yang kami ada, MAS akan memperkukuh kedudukannya sebagai satu daripada syarikat penerbangan premium pilihan di dunia, yang membawa layanan mesra Malaysia kepada pelanggan kami," kata Ahmad Jauhari.

Fabrice Bregier berkata: "Kami amat berbangga mengalu-alukan Malaysia Airlines sebagai pengendali terbaru pesawat A380.

"A380 menetapkan tahap baharu keselesaan, kecekapan bahan api dan rasa hormat kepada alam sekitar. Gabungan ciri-ciri ini dan perkhidmatan dalam penerbangan MAS yang terkenal di seluruh dunia merupakan formula kemenangan, dan membolehkan syarikat ini menawarkan yang terbaik dalam industri kepada pelanggannya. "

Malaysia Airlines menempah enam pesawat A380 yang berupaya terbang 8,300 batu nautikal atau 15,300 kilometer, katanya.

Ini membolehkan MAS mengadakan penerbangan tanpa henti dengan muatan penuh dari Kuala Lumpur ke mana-mana destinasi di Eropah atau perkhidmatan satu persinggahan ke destinasi-destinasi utama di AS, ujar beliau.

Sejak memulakan perkhidmatan pada 2007, pesawat A380 mengatasi semua jangkaan, dengan membawa penumpang ke destinasi lebih jauh pada kos yang lebih rendah, di samping mengurangkan pelepasan karbon, kata beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain