suria

Lima Pengedar Diberkas Dalam Operasi Di Pahang

KUANTAN: Lima lelaki yang disyaki terbabit dalam pengedaran dadah diberkas dalam Ops Tapis Bersepadu yang dilancarkan sejak 25 Mei sehingga semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Toon Khuan, pelbagai jenis dadah yang bernilai RM67,550 turut dirampas.

"Lima lelaki ditahan secara berasingan. Polis turut merampas pebagai jenis dadah bernilai RM67,550 iaitu heroin sebanyak 214.82 gram bernilai RM36,519, syabu seberat 19.4 gram bernilai RM13, 580, ketamin 144.3 gram bernilai RM17,316 dan Eramin 5 sebanyak sembilan biji bernilai RM135," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata tangkapan terbaru ialah pada 1.30 pagi semalam di sebuah rumah di Jalan Kuala Krau, Temerloh ke atas seorang lelaki berusia 20 tahun.

"Polis menemui 26 gram dadah jenis heroin serta enam gram syabu daripadanya dan pemuda terbabit juga didapati positif morfin," katanya.

Yap berkata pada 28 Mei lepas, dua lelaki berusia 35 dan 36 tahun juga diberkas secara berasingan iaitu pada 2 pagi di Felda Keratong, Muadzam Shah dan di Genting Highlands pada 5 petang.

"Dalam serbuan di Keratong, polis merampas dadah jenis heroin seberat 94.82 gram, syabu seberat 12.7 gram dan empat biji pil Eramin 5 manakala di Genting Highlands, syabu seberat 0.7 gram, 144.3 gram ketamin dan lima biji pil Eramin 5 ditemui," katanya.

Pada 27 Mei lepas di Bentong kira-kira 2.30 petang, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan dan hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis heroin seberat 73 gram pada suspek, katanya.

Manakala pada 25 Mei lepas, seorang buruh ladang berumur 22 tahun diberkas di Felda Padang Piol dekat Jerantut kira-kira 5.20 petang dan polis menemui 21 gram dadah jenis heroin.

"Semua suspek kini ditahan reman seminggu dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," kata Yap. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain