suria

Empat Wanita Rakyat China, Tiga Thailand Ditahan Dalam Ops Noda

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat wanita rakyat China dan tiga warga Thailand, yang dipercayai pelacur, di sebuah premis rumah urut di Regalia Business USJ 1, Subang Jaya dekat sini, malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Superitendan Yahya Ramli berkata, selain wanita yang berusia antara 20 dan 40 tahun itu, serbuan Ops Noda oleh pasukan cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat itu turut menahan seorang lelaki Bangladesh berusia 29 tahun yang dipercayai penjaga permis berkenaan.

"Serbuan kira-kira 11 malam itu dibuat hasil maklumat awam dan risikan polis sejak seminggu lepas. Semua wanita terbabit ditahan dalam sebuah bilik di premis itu dan mereka dipercayai menunggu pelanggan," katanya menerusi SMS di sini, Rabu.

Yahya berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas 20 kotak kecil kondom, tiga helai tuala, satu botol minyak urut, satu gulung tisu, sebuah buku tunai, serta wang tunai RM173 yang diguna dalam kegiatan pelacuran.

"Siasatan mendapati mereka juga melanggar syarat pas lawatan sosial " katanya.

Sementara itu, Yahya berkata, polis memburu tujuh lelaki dipercayai dari dua kumpulan kongsi gelap bagi membantu siasatan dua kes bunuh melibatkan anggota kumpulan berkenaan, dipercayai akibat dendam.

Menurutnya kesemua lelaki itu, yang berumur antara 25 tahun dan 35 tahun, mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes bunuh itu berlaku di Taman Maju Jaya dan Puchong dekat sini awal bulan ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain