suria

Dakwaan Rasuah: Azmin Sedia Disiasat Lagi

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali sedia disiasat semula Oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kes tuduhan rasuah bernilai jutaan ringgit yang dihadapinya 17 tahun lalu.

Sambil menegaskan yang dia tidak melakukan apa-apa kesalahan, Ahli Parlimen Gombak itu menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa kerana beliau sudahpun memberikan kerjasama penuh bagi tuduhan terhadap kes yang sama pada 1995.

"Terpulanglah kepada pihak berwajib. Namun kalau mengikut rekod yang ada, semua maklumat telah pun diberikan. Tujuh belas tahun lalu bukan satu tempoh yang pendek dan saya yakin SPRM masih lagi menyimpan rekod-rekod siasatan 1995...semua maklumat ada di situ.

"Saya yakin saya tidak mengamalkan amalan rasuah. Sebab itu saya tampil (1995) berikan kerjasama dan memberikan semua maklumat," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan kes rasuah yang didedahkan oleh Raja Petra Kamaruddin yang berlaku 17 tahun lalu sewaktu beliau masih lagi berkhidmat sebagai setiausaha sulit Anwar (menteri kewangan dan timbalan perdana menteri).

Portal Malaysia Today dalam postingnya yang terbaru mendakwa Anwar yang juga menteri kewangan ketika itu mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya tidak mengambil tindakan lanjut ke atas Mohamed Azmin dan menghapuskan fail siasatan walaupun mempunyai cukup bukti untuk menahan dan mendakwanya.

Raja Petra berkata, maklumat itu diperolehi daripada seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru bersara dan menyerahkan dokumen sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi itu kepadanya di London bulan lalu.

Mengulas lanjut mengenai isu terbaru itu, Mohamed Azmin mempersoalkan dakwaan Raja Petra bahawa Anwar mengarahkan BPR pada ketika itu menghentikan siasatan terhadapnya.

Mohamed Azmin sebaliknya berkata yang dia telah pun disiasat malah telah memberikan kerjasama kepada BPR atas arahan Anwar.

"Sebenarnya begini, apabila ada tuduhan terhadap saya pada 1995 maka siasatan dibuat oleh BPR dan saya telah memberikan keterangan dan kerjasama kepada BPR.

"Sepanjang ingatan saya, beberapa kali saya pergi ke pejabat BPR di Jalan Duta untuk memberi keterangan.

"Datuk Seri Anwar ketika itu menjadi timbalan perdana menteri telah mengarahkan saya supaya memberikan kerjasama penuh kepada BPR dan saya telah pun melakukannya...ini hal 17 tahun dulu.

"Tanggungjawab saya ialah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan saya telahpun memberikan kerjasama 17 tahun lalu," katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut menyifatkan tindakan Raja Petra membuat dakwaan menuduh Anwar menghalang siasatan BPR pada ketika itu adalah berniat jahat dan tidak berasas.

"Kalau semak kembali, pada tahun 1998 Anwar dibawa ke mahkamah dan dibacakan pertuduhan terhadapnya. Salah satunya ialah beliau dituduh mengganggu siasatan BPR terhadap saya.

"Bermakna beliau telah dituduh di mahkamah. Namun beberapa bulan kemudian, Hakim Datuk Augustin Paul menggugurkan beberapa pertuduhan termasuk pertuduhan ini," kata Azmin.

Artikel Berikut

Artikel Lain