suria

Cuepacs Minta Kerajaan Naikkan Gred 50,000 Pekerja Perhutanan, Pertanian Dan Teknikal

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menimbang cadangan supaya menaikkan gred jawatan kira-kira 50,000 pekerja perhutanan, pertanian dan teknikal.

Setiausaha Agung Cuepacs Lok Yim Pheng berkata kesemua pekerja terbabit yang kini dalam gred G17, G22 dan G26 dicadang dinaikkan kepada gred G27, G32 dan G36 kerana mereka mempunyai kelayakan akademik dan sijil kemahiran.

Beliau berkata ini selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan pekerja mahir ke arah mencapai statuts negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Jadi pekerja yang ada kemahiran khas atau bertaraf antarabangsa perlu diberi pengiktirafan," katanya kepada Bernama, Rabu.

Lok berkata cadangan mengenai penarafan gred tersebut telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Mac lepas.

Menjelas lanjut, Lok berkata bagi memastikan cadangan menaikkan gred itu dapat dilaksankan, Cuepacs berharap Suruhanjaya Khas untuk menyemak secara menyeluruh struktur Skim Perkhidmatan Awam dapat segera ditubuhkan.

Sehubungan itu, beliau mengulangi permintaan supaya sekurang-kurangnya seorang pemimpin Cuepacs dilantik menganggotai Suruhanjaya Khas itu.

"Kalau tiada wakil Cuepacs, kita tak dapat suarakan apa-apa bagi pihak pekerja," katanya.

Penubuhan suruhanjaya khas itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib pada perjumpaan khas dengan penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas.

Selain itu Lok berkata menjelang tahun depan, mungkin terdapat lebih 100,000 kakitangan awam yang akan mencapai gaji maksiumum dan menyebabkan mereka tidak dapat menikmati pergerakkan gaji.

Sehubungan itu, Cuepacs mencadangkan kepada kerajaan supaya melihat semula gaji kakitangan awam dari sudut yang lebih baik. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain