suria

Suami Isteri Dihadapkan Ke Mahkamah Atas Pertuduhan Cederakan Pembantu Rumah

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri, Selasa, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada pembantu rumah warga Kemboja.

Tan Mong Huwai, 36, dan isterinya Eng Lay Sang,36, didakwa bersama-sama mencederakan Chea Phalla,28, dengan memukul wanita itu berulang kali menggunakan kasut kayu, botol arak kosong, penimbang berat badan, pisau dapur, batang rod aluminium, seterika, kerusi plastik dan besen.

Pasangan itu didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di No.B-13-6, Plaza Prima Setapak, Jalan Prima Setapak 5, Off Jalan Genting Klang, Setapak, Sentul dekat sini pada 16 Ogos 2011 hingga 24 Mei 2012.

Tan yang merupakan pekerja salon dan isterinya seorang suri rumah didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal menawarkan jaminan RM25,000 terhadap setiap tertuduh bagaimanapun peguam KC Heu yang mewakili pasangan itu memohon jaminan dikurangkan kepada RM7,000 setiap seorang atas alasan Eng sedang mengandung empat bulan.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan pasangan suami isteri itu diikat jamin RM10,000 setiap seorang dan mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah. Rozana menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain