suria

Saya Sokong Bersih 3.0 Tetapi Bukan Cara Langgar Undang-Undang - Tunku Aziz

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim pada Isnin memberitahu beliau sebenarnya menyokong penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 tetapi bukan dengan cara melanggar undang-undang.

Jelasnya, perhimpunan Bersih yang bermatlamat untuk menuntut supaya pilihan raya yang bebas dan adil amat dipersetujui dan disokong beliau.

"Namun setiap kenyataan dan isu-isu berkaitan banyak mengatakan Tunku Aziz membantah Bersih 3.0, dan ia adalah tidak benar.

"Saya menyokong Bersih 3.0. Bagaimanapun, secara asasnya, saya menentang ia diadakan secara demonstrasi jalanan, bukan sahaja DAP tetapi juga mana-mana parti yang mahu melanggar undang-undang," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini.

Tunku Abdul Aziz menerima kecaman hebat daripada pembangkang termasuk kepimpinan DAP ekoran kenyataan terbukanya membantah perhimpunan Bersih 3.0 yang disokong parti itu pada 28 April lalu.

Menurut Tunku Abdul Aziz, kenyataan beliau mengenai Bersih 3.0 mendapat teguran daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang tetapi telah menjelaskan bahawa ia bukan merujuk kepada penganjuran perhimpunan itu.

“Saya menegaskan bahawa penganjuran Bersih di Dataran Merdeka telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan. Terdapat perbezaan antara membantah Bersih dan bantahan terhadap hasrat (penganjur) untuk melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau menyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak bertahun-tahun namun katanya: “Anda tidak boleh mengesahkan sebagai NGO sekiranya anda menggalakkan orang ramai untuk melanggar undang-undang.”

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini tidak membenarkan lokasi asal Dataran Merdeka sebagai tempat mengadakan perhimpunan Bersih 3.0.

Keputusan itu adalah sejajar dengan Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan 1992 yang memperuntukkan bahawa Dataran Merdeka tidak boleh digunakan untuk sebarang aktiviti menunjuk perasaan atau melakukan bantahan.

Tindakan Tunku Abdul Aziz yang menyuarakan bantahan terhadap Bersih 3.0 menyebabkan DAP tidak menyambung perkhidmatannya sebagai Senator.

Beliau secara rasminya mengumumkan untuk keluar dari DAP pada 14 Mei lalu dan sebelum itu terlebih dahulu meletakkan jawatannya sebagai naib pengerusi parti.

Artikel Lain