suria

Proton Gantung Jawatan CEO Lotus

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd pada Isnin mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lotus, Dany Bahar digantung sementara daripada jawatan itu bagi memudahkan siasatan terhadap aduan perlakuannya yang dibuat oleh syarikat induk, DRB-HICOM Bhd.

Semasa ketiadaan Bahar, Datuk Lukman Ibrahim, Mohd Khalid Yusof dan Aslam Farikullah, wakil syarikat induk Lotus, diberikan kuasa oleh lembaga pengarah Group Lotus plc mengendalikan dan mengurus urusan pentadbiran harian Lotus Group.

"Mereka akan dibantu oleh Rusman Zaihan. Mereka diberikan kuasa untuk menjalankan tugas sepanjang tempoh penggantungan itu," kata Proton dalam kenyataan di sini Isnin.

Sementara itu, pembuat kereta nasional juga mengulangi bahawa syarikat pemegangannya DRB-HICOM, tidak menjual Lotus, anak syarikat milik penuh Proton, meskipun wujud spekulasi media dan ura-ura daripada sumber yang tidak boleh dipercayai bahawa ia bercadang menjualnya.

"Kami memperakui Lotus boleh menawarkan nilai kepada Proton. Lotus ialah jenama ikonik dengan kehadiran dan kedudukan global, selain kepakaran kejuruteraan dan tenaga kerja berbakat," kata Pengerusi Eksekutif Proton Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Awal bulan ini, Mohd Khamil melawat kemudahan Lotus di Hethel di Norfolk, United Kingdom, dan mengadakan mesyuarat konstruktif dengan Anggota Perlimen South Norfol, Richard Bacon dan Setiausaha Perniagaan Britain Vince Cable. Beliau berkata:"Kedua-dua mereka menyokong padangan dan pembangunan kami membabitkan masa depan Lotus."

Berikutan pertemuan itu, beliau berkata kerajaan Britain bersetuju menimbang untuk mengaktifkan semula ikrar dana pertumbuhan £10 juta serantau bagi menyokong pelan pembangunan kereta Lotus di Norfolk.

"Proton dan DRB-HICOM akan terus mengkaji semula pelan perniagaan sedia ada dan kedudukan kewangan Lotus bagi menggerakan Lotus dalam tempoh serta merta dan jangka sederhana," kata Mohd Khamil.

Beliau bekata DRB-HICOM sudah menghantar satu pasukan yang terdiri daripada perunding tempatan dan antarabangsa ke Lotus pada Mac bagi melakukan operasi dan audit ke atas syarikat kumpulan Lotus.

Kajian semula ini perlu, terutama wujudkan obligasi kewangan Lotus dalam bentuk pinjaman bersindiket £270 juta yang diambil pada akhir 2010, di mana Proton menyediakan jaminan korporat. - BERNAMA

Artikel Lain