suria

PM Sediakan Dua Teras Utama ETP

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memuji pelbagai kementerian, agensi dan organisasi, awam dan swasta, yang bekerja keras dalam melaksanakan Inisiatif Reformasi Strategik (SRI) bagi menjadikan ekonomi Malaysia lebih kompetitif.

"SRI yang merupakan langkah dasar, diperkenal kurang dari setahun lepas, dan kini ia sudah menampakkan hasil yang jelas," kata Najib yang juga Menteri Kewangan semasa mengumumkan kemajuan pertama Program Transformasi Ekonomi (ETP) tahun ini.

Beliau menyebut bagaimana SRI bagi pembangunan modal insan, termasuk Akta Gaji Minimum, yang diwartakan baru-baru ini, jelas membuktikan pihak-pihak yang terlibat bergerak pantas melaksanakan inisaitif dasar.

SRI pembangunan modal insan termasuk penambahan lima lagi rakan kepada program MyProCert, yang bermatlamat meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dengan pensijilan profesional ICT standard antarabangsa.

Bagi Sri persaingan, standard dan liberalisasi, ia meliputi penubuhan Tribunal Rayuan Persaingan, dengan bidang kuasa eksklusif mendengar rayuan membabitkan keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), katanya.

SRI Persaingan, Standard dan Liberalisasi juga termasuk pembangunan 12 Standard Malaysia (MS) berkaitan diod pemancar cahaya (LED) dipercepatkan berikutan larangan ke atas penggunakan lampu pijar mulai Januari 2014 oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Ini juga melibatkan liberalisasi sembilan subsektor perkhidmatan - perkhidmatan perakaunan/percukaian, perkhidmatan penghantaran cepat, kedai khusus, perkhidmatan insinerator, hospital swasta, sekolah latihan kemahiran/teknikal dan Sekolah Vokasional (untuk pelajar keperluan khas) membolehkan sehingga 100 peratus ekuiti asing dengan kebenaran kemasukan profesional asing.

Bagi SRI Kewangan Awam, Najib berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia melaksana inisiatif untuk meningkatkan pentadbiran dan pematuhan percukaian.

Langkah itu menyumbang kepada perolehan cukai LHDN dan Kastam berjumlah RM192.8 juta pada suku pertama 2012, melepasi sasaran kutipan sebanyak RM191.4 juta, kata Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Lain