suria

PM Gesa Rakyat Malaysia Belajar Menerima Satu Sama Lain

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat Malaysia daripada pelbagai etnik yang berbeza, sama ada Melayu, Cina, India dan apa jua, untuk belajar daripada "saudara-saudara" mereka dari Timur Malaysia.

Beliau berkata jika mereka boleh belajar untuk menerima dan meraikan antara satu sama lain walaupun adanya perbezaan, maka negara akan maju ke hadapan dalam usahanya untuk berkembang dan makmur dalam keadaan yang penuh aman dan harmoni.

"Sebagai Perdana Menteri, amat menyentuh hati saya apabila mengetahui rakyat Malaysia di rantau Borneo dapat berkumpul bersama-sama dalam persahabatan untuk menyambut ketibaan musim menuai walaupun terdapat perbezaan yang dihadapi," katanya dalam tulisan terbarunya di blog www.1malaysia.com.my, Selasa.

Sambil mengucapkan selamat menyambut pesta menuai kepada kaum Kadazandusun dan suku-suku di bawahnya yang mengakhiri sambutan Tadau Kaamatan selama sebulan pada 30 dan 31 Mei, dan komuniti Dayak di Sarawak yang menyambut Gawai Dayak bagi menandakan bermulanya musim menanam padi baharu pada 1 dan 2 Jun, Najib berkata sebagai sebuah negara yang mempunyai berbilang budaya dan etnik, beliau percaya ada banyak yang boleh dipelajari daripada "saudara-saudara kita di Timur".

"Sebelum adanya sambutan perayaan musim menuai ini, setiap kaum dan kampung menyambut ritual menuai mereka pada masa berbeza sepanjang tahun, iaitu bergantung kepada kitaran tanaman padi mereka.

"Bagi membolehkan semua kumpulan etnik dan kampung-kampung menyambut acara ini bersama, pemimpin masyarakat dan komuniti tempatan telah berkumpul dan bersama-sama bersetuju memilih satu tarikh umum bagi menyambut perayaan," katanya.

Najib berkata di Sabah, acara menuai dengan sendirinya bermula pada tahun 1960, setelah dimasukkan ke dalam Tamu Besar buat pertama kalinya sementara di Sarawak pula, perbincangan antara pemimpin masyarakat dan kerajaan akhirnya membuahkan keputusan 1 Jun dipilih sebagai hari sambutan perayaan musim menuai yang rasmi.

"Ini merupakan kehendak bersama pelbagai kumpulan kaum di Sabah dan Sarawak; iaitu dari kaum Murut ke Orang Sungai dan dari kaum Iban ke Bidayuh, untuk bergabung di bawah perayaan Kaamatan dan Gawai yang sehingga kini telah membawa kepada perpaduan pelbagai kaum," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain