suria

Pendengaran Permohonan Ekstradisi Warga Iran Ditangguh Ke 25 Jun

KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan ekstradisi oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap warga Iran Masoud Sedaghat Zadeh, yang dikhendaki kerajaan Thailand atas dakwaan terbabit dalam kejadian pengeboman di Bangkok pada 14 Februari lepas, di Mahkamah Sesyen di sini ditangguhkan ke 25 Jun.

Hakim S.M Komathy Suppiah menetapkan tarikh itu selepas peguam yang mewakili Masoud, Mohd Nashir Hussin memohon penangguhan kerana beliau perlukan masa untuk memfailkan afidavit.

"Kami akan failkan afidavit dalam 10 hari kerana kami masih belum menerima arahan daripada bapa Masoud," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar yang mewakili Jabatan Peguam Negara tidak membantah penangguhan itu.

Kamal Baharin berkata beliau menerima surat penangguhan itu daripada peguam itu pada 25 Mei dan memaklumkan mahkamah yang beliau akan memfailkan afidavit jawapan dalam tempoh dua minggu.

Pada 15 Mac, Jabatan Peguam Negara menyerahkan afidavit sokongan menerusi Peguam Kanan Persekutuan Swandra Kim Chu Ramachandran, yang bertugas di Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa jabatan itu, menyatakan perintah ekstradisi dikeluarkan terhadap Masoud mengikut Perkara 7 Perjanjian Ekstradisi antara Kerajaan British dan Kerajaan Siam pada 1911, yang turut terpakai kepada Malaysia.

Masoud ditahan pada 3.30 petang, 15 Februari lepas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, mengikut Akta Imigresen semasa sedang transit untuk ke Iran selepas tiba dari Bangkok.

Dia ditahan atas permintaan daripada pihak berkuasa Bangkok berikutan pihak berkuasa Thailand mengesyaki dia mempunyai kaitan dengan dua lagi warga Iran yang ditahan berhubung kejadian pengeboman di ibu negara Thailand. - BERNAMA

Artikel Lain