suria

Pemandu Teksi Di W.Persekutuan Bakal Terima Perlindungan Insurans - Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR: Pemandu teksi sekitar Wilayah Persekutuan akan turut menikmati kemudahan skim insurans berkelompok seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk golongan penjaja dan peniaga kecil baru-baru ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata pemandu teksi juga perlu mendapat perlindungan yang sama kerana mereka juga sering berdepan masalah sepertimana penjaja dan peniaga kecil.

"Pemandu teksi ini boleh dikategorikan kerja sendiri, jadi mereka juga perlu mendapatkan faedah perubatan yang sama seperti yang dicadangkan untuk penjaja dan peniaga kecil. Insurans ini akan turut melibatkan insurans kemalangan dan kematian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Majlis Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan (MPPPKWP), Selasa.

Raja Nong Chik berkata kertas cadangan skim insurans bagi pemandu teksi itu akan diserahkan kepada Kabinet esok.

Beliau berkata skim itu akan menerima peruntukan tambahan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan selain bantuan yang disediakan kerajaan pusat.

Mengulas mengenai penubuhan MPPPKWP, Raja Nong Chik berkata ia diwujudkan bagi menjamin kepentingan jangka panjang penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan.

"Melalui perbincangan dengan wakil peniaga kecil, insentif dan projek pembangunan akan datang dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat secara menyeluruh," katanya.

Raja Nong Chik juga berkata lima orang wakil persatuan akan menganggotai MPPPKWP, di mana setiap mereka mestilah mewakili ketiga-tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. - BERNAMA

Artikel Lain