suria

Pelajar Warga China UM Maut Dilanggar Kereta

PETALING JAYA: Seorang penuntut wanita warganegara China di Universiti Malaya maut dilanggar kereta ketika melintas dekat Pasaraya Jaya One, Jalan Universiti, Petaling jaya, Sabtu lepas.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Xiao Xiao, 18, dikatakan berjalan berseorangan dan sedang melintas jalan untuk ke kenderaannya sebelum pulang ke kediamannya di Universiti Malaya.

Menurut saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Johnson, 24, Xiao Xiao, pelajar jurusan ijazah pentadbiran perniagaan, dilanggar oleh sebuah kereta jenis Nissan Sylphy yang dipercayai dipandu laju.

"Saya difahamkan kereta itu dipandu dengan laju dan pemandu tidak sempat memberhentikan kenderaan, lalu melanggar kawan baik saya itu sehingga cedera di bahagian kepala. Saya mengenalinya selama setahun dan tidak sangka beliau pergi dengan begitu cepat.

"Saya harap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pemandu itu memberhentikan kenderaan di tempat kejadian sebelum membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Johnson berkata, Xiao Xiao yang merupakan pelajar semester satu, dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan mayatnya dituntut oleh sepupu mangsa untuk dibawa pulang ke China.

Sementara itu, sumber Polis Daerah Petaling Jaya ketika dihubungi berkata, laporan telah dibuat oleh pemandu kereta Nissan itu dan polis merakamkan keterangan suspek dan beberapa orang awam lain bagi membantu siasatan.

"Menurut laporan saksi, didapati mangsa telah keluar secara tiba-tiba ketika melintas jalan menyebabkan pemandu kereta Nissan itu melakukan brek mengejut," katanya.

Menurut sumber itu lagi, polis mengalu-alukan mana-mana saksi yang mempunyai maklumat untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan di talian 03-79662222 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan. - BERNAMA

Artikel Lain