Kes Penyelia Didakwa Bunuh Isteri Disebut Semula 28 Jun - Semasa | mStar

Kes Penyelia Didakwa Bunuh Isteri Disebut Semula 28 Jun

KUALA LUMPUR: Kes seorang penyelia tempat letak kereta yang didakwa membunuh isterinya yang hamil akan disebut semula di Mahkamah Majistret di sini pada 28 Jun.

Majistret, Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan bedah siasat mangsa belum diperoleh.

Pada 28 Mac lepas, Johari Ahmad, 42, yang tidak diwakili peguam, didakwa membunuh eksekutif cukai Suzilah Sabtu, 28, di rumah beralamat No B-8-9, Pangsapuri Permai, Jalan Landai Permai, Sungai Besi, Cheras, di sini antara 3.30 petang dan 6.41 petang pada 16 Mac.

Johari, dari Kampung Pandan di sini, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Media melaporkan Suzilah mati ditikam ekoran satu pertengkaran. Bedah siasat menunjukkan mangsa yang hamil lapan minggu meninggal dunia akibat ditikam bertubi-tubi. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Marcelo akui Real Madrid rindu Ronaldo

"Mereka tidak layak cakap pasal hoki"