suria

Kediaman Peniaga Pasar Malam Dan Penternak Musnah Dalam Kebakaran

ALOR SETAR: Kediaman peniaga pasar malam, Mohd Razin Mian, 50, dan seorang penternak lembu-kambing, Abdul Halim Hamid, 28, di Taman Bersatu, Kuala Kedah, di sini terbakar petang Selasa.

Rumah teres dua tingkat kos rendah itu hampir musnah sepenuhnya menyebabkan Mohd Razin dan Abdul Halim kerugian lebih RM15,000.

Mohd Razin berkata beliau sedang menyediakan barang-barang untuk berniaga semasa kebakaran berlaku di tingkat atas rumahnya kira-kira pukul 3.30 petang dan beliau, isteri dan empat orang anak sempat keluar menyelamatkan diri.

"Saya bersyukur kerana semuanya selamat. Sekarang memikirkan untuk mencari tempat perlindungan sementara," katanya semasa ditemui di tempat kejadian.

Abdul Halim pula berkata dia sedang berehat bersama isteri dan dua anaknya berumur lapan dan dua setengah tahun di tingkat bawah apabila jiran menjerit rumahnya terbakar.

Ketua Balai Bomba Jalan Raja, Alor Setar, Mohd Faizul Zainur Halim berkata dua jentera bomba dari Jalan Raja dan Jalan Tun Razak dengan 13 anggota serta dibantu pasukan bomba sukarela berjaya memadamkan kebakaran dalam masa beberapa minit.

Penyelaras Parlimen Kuala Kedah, Syed Zainuzaman Syed Yahya berkata bantuan tunai RM500 diberi kepada setiap keluarga manakala Ketua UMNO bahagian Kuala Kedah, Datuk Latt Shariman Abdullah sedang mengusahakan bantuan seterusnya. - BERNAMA

Artikel Lain