suria

Hutang Negara Tidak Melebihi 55 Peratus KDNK - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memastikan had hutang Malaysia tidak melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebagai strategi pengurusan berhemat dalam mengurus kewangan negara.

Kerajaan juga mengambil langkah mengurangkan defisit fiskal, selari dengan komitmen untuk memastikan pertumbuhan, katanya.

"Tahun lepas, defisit fiskal berada pada kedudukan 4.8 peratus KDNK berbanding 5.0 peratus," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam ucapan dasar pada persidangan "Invest Malaysia 2012" di sini, Selasa.

Bagi memastikan pertumbuhan dalam negara, khususnya dalam pasaran modal, Najib mengumumkan lima inisiatf baru, termasuk mengamanahkan Bursa Malaysia untuk mewujudkan yayasan baharu, yang dianggotai pemegang kepentingan utama industri untuk menangani sebarang jurang pertumbuhan dalam pasaran.

Tumpuan khususnya ialah terhadap pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), inovasi pasaran dan pembangunan bakat sedia ada dan baharu,

"Bagi menyokong usaha itu, Dana Pembangunan Pasaran Modal akan diperuntukkan geran RM100 juta untuk menubuhkan yayasan baharu itu yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan," kata Najib.

Najib turut mengumumkan bahawa mulai 1 Jun, syarikat yang menyertai program Skim Latihan 1Malaysia berhak mendapat insentif pengurangan cukai dua kali ke atas peruntukan dan perbelanjaan latihan yang digunakan.

Perdana Menteri yang juga pemangku Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, mengumumkan insentif pengurangan cukai berganda juga diberikan untuk perbelanjaan latihan yang digunakan oleh syarikat yang mengambil semula wanita yang berehat daripada kerjaya masing-masing, mulai 2013.

"Saya juga menggalakkan perbadanan utama yang disenarai mendedahkan dalam laporan tahunan masing-masing, dasar aturan kerja anjal yang mereka tawarkan bagi membantu menyokong wanita," katanya.

Perdana Menteri berkata, pendedahan itu akan membantu menyalurkan amalan terbaik dalam keseluruhan sektor korporat Malaysia, dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat telah diminta bekerjasama dengan TalentCorp, untuk mewujudkan ruang baharu untuk korporat berkongsi amalan yang sudah terbukti.

Mengenai persoalan daya saing dan menghapuskan kerenah supaya penerbit, pengantara dan pelabur mempunyai akses kepada kecekapan, keberkesanan dan kemudahan pasaran, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah telah diminta menubuhkan dan mengetuai Pasukan Petugas Pasaran Modal.

Sementara itu, Suruhanjaya Sekuriti telah diminta memulakan penubuhan Dana Pampasan Pasaran Modal Disatukan, yang akan menyatukan skim pampasan sedia ada yang dianggarkan melebihi RM420 juta.

"Pasukan petugas akan membuat cadangan dan mengenal pasti program-program pelaksanaan jelas bagi menyelaraskan kawal aturan dan proses pengurusan pasaran, satu proses yang akan selesai menjelang akhir suku ketiga, dengan penyepaduan sepenuhnya kerangka kerja pasaran pada pertengahan tahun depan," kata Najib.

Inisiatif ini yang bertujuan melindungi pelabur dan orang ramai, juga berperanan sebagai pusat sehenti untuk pampasan pelabur dalam keseluruhan pasaran modal, katanya.

Perdana Menteri berkata, semua inisiatif baharu ini merupakan isu teras yang perlu ditangani bagi menggerakkan pertumbuhan mampan.

"Saya akan membuat keputusan sukar lebih awal bagi mengurangkan ketegangan selain mengelak masalah selanjutnya - kerana sekarang adalah masa untuk memulakan program pembangunan pasaran modal yang inovatif dan mampan yang akan menjadikan pasaran Malaysia sebagai pasaran pilihan multinasional Asean," katanya.

Artikel Lain