suria

Enam Beranak Disamun Empat Lelaki Bersenjata Parang

PEKAN: Enam beranak diikat dan dikurung di dalam sebuah bilik oleh empat lelaki dipercayai warga asing sebelum lelaki berkenaan menyamun barangan kemas bernilai RM20,000 daripada keluarga itu dalam kejadian di Kampung Gemuruh, Paloh Hinai, dekat sini, awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, empat lelaki bersenjatakan parang itu masuk ke dalam rumah pesara berumur 60 tahun itu dengan mengumpil sebuah daripada tingkap, kata Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman.

"Mangsa yang tiba-tiba terjaga daripada tidur membuka pintu bilik untuk membuat pemeriksaan, sebaik saja mangsa membuka pintu bilik, seorang daripada suspek terbabit terus mengacukan parang ke lehernya," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Suspek kemudiannya mengejutkan lima lagi anggota mangsa termasuk isteri dan seorang menantu lelakinya dan mengikat mereka di dalam sebuah bilik, katanya.

Yahaya berkata mangsa berjaya melepaskan ikatan itu beberapa jam kemudian dan membuat laporan di Balai Polis Paloh Hinai kira-kira 7 pagi.

Polis telah melancarkan Ops Rantau bagi memburu empat suspek terbabit, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain