suria

Sindiket Curi Kenderaan Pacuan Empat Roda Tumpas, Lima Ditahan

PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket mencuri kenderaan pacuan empat roda bernilai RM1.5 juta untuk pasaran luar negara dengan tertangkapnya lima lelaki tempatan di Kampung Baru Subang, Khamis lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata ekoran tangkapan kelima-lima lelaki berumur 22 hingga 30 tahun itu, polis berjaya mendapatkan semula 10 kenderaan curi, tiga daripadanya berjaya disekat sebelum dieksport ke Singapura. Beliau berkata polis yang melancarkan Ops Lejang menahan kelima-lima lelaki tersebut dalam sebuah kereta jenis Toyota Hilux pukul 8.45 malam pada hari Khamis di sekitar Subang.

Menerusi siasatan lanjut kemudiannya membawa polis ke lokasi penyimpanan kenderaan yang dicuri itu di Kampung Baru Subang, Shah Alam.

"Di sebuah tapak kilang perabot, kita menemui dua kontena berisi empat kenderaan Hilux dan dua jenis Fortuna yang sudah disediakan untuk dieksport ke luar negara.

"Hasil siasatan polis mendapati pada 21 Mei lepas, sebuah kontena berisi tiga kenderaan sama sudah berlepas ke Singapura, namun berjaya disekat semalam," kata Tun Hisan pada sidang media di sini Isnin. Beliau berkata ketiga-tiga kenderaan itu didapati dicuri di Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur, di Damansara dan Bukit Puchong.

"Berdasarkan siasatan lanjut polis mendapati sindiket ini telah mengeksport 18 kontena, setiap satu kontena berisi tiga kenderaan jenis sama semuanya berjumlah 54 buah bernilai RM8 juta. Sindiket ini telah membuat penghantaran pertama pada 2 Mac lepas," katanya.

Tun Hisan berkata polis telah mengenalpasti ejen penghantaran kontena terbabit yang berpejabat di Sentul, serta pihaknya yakin terdapat saki baki anggota sindiket terbabit.

"Modus operandi kumpulan ini bukan macam kes yang lain, pecah dan bawa lari kereta. Tapi mereka membuat tempahan kontena sebaik sahaja dapat kereta yang ingin dicuri, dan terus membawa lari kereta tersebut ke lokasi penyimpanan.

"Saya minta pihak berkuasa mengadakan pemeriksaan di bekas tapak kilang yang tidak berlesen kerana kemungkinan lokasi tersebut dijadikan sarang kegiatan jenayah mereka," katanya.

Tun Hisan berkata siasatan polis mendapati kesemua kereta tersebut ditransit di Singapura dan Bangkok serta didaftarkan sebagai barangan lampin bayi pakai buang.

Katanya, kesemua lelaki terbabit, yang positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan samun, direman sehingga Rabu ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain