suria

Remaja Lelaki Didakwa Cuba Bunuh Pengurus Besar

PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh seorang pengurus besar sebuah syarikat swasta, enam hari lepas.

Bagaimanapun, Mathew Salleh Palmer, 18, yang bekerja di sebuah bengkel kereta, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Yasmin Abdul Razak.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Zamri Adam, 44, di Jalan Utama TP 7, Subang Jaya, pada 6 petang 22 Mei lepas, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Mathew melanggar mangsa dengan kereta sehingga cedera.

Hakim Yasmin membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah manakala Mathew tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain