suria

PM Umum 21 Projek Baru Bernilai RM20.46 Bilion

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 21 projek baru di bawah tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM4.59 bilion pada 2020.

Projek yang bernilai RM20.46 bilion itu dijangka mewujudkan 39,918 peluang pekerjaan.

21 projek itu terletak di bawah NKEA pertanian, perkhidmatan perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan, peniagaan borong dan runcit, elektrik dan elektronik serta Greater KL/Klang Valley.

Dalam NKEA pertanian, peruntukan pelaburan sebanyak RM456.69 juta akan menyumbang kira-kira RM367.58 juta kepada PNK dan mewujudkan 2,539 peluang pekerjaan menjelang 2020.

NKEA perkhidmatan perniagaan mendapat peruntukan pelaburan sebanyak RM2.4 bilion dan akan menyumbang RM1.41 bilion kepada PNK pada 2020 dengan menyediakan 10,909 peluang pekerjaan.

Sementara itu, sektor peniagaan borong dan runcit yang menyediakan 16,363 peluang pekerjaan dengan peruntukan pelaburan berjumlah RM466.8 juta.

Ia akan menyumbang sebanyak RM1.1 bilion kepada PNK.

NKEA Penjagaan Kesihatan diperuntukkan pelaburan berjumlah RM107.14 juta dan akan menyumbang sejumlah RM238.06 juta kepada PNK dan menyediakan pekerjaan bagi 3,735 orang menjelang 2020.

Bagi NKEA Pendidikan, komitmen pelaburan sebanyak RM535.58 juta diperuntukkan dan menyumbang sejumlah RM146.39 juta kepada PNK di samping mewujudkan 660 pekerjaan.

NKEA Elektrik dan Elektronik akan menerima pelaburan berjumlah RM4 bilion dan mewujudkan 1,000 pekerjaan menjelang 2020, dan daripada jumlah ini, 400 adalah pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi.

Bagi, NKEA Greater KL/Lembah Klang pula akan mendapat komitmen pelaburan sebanyak RM12.5 bilion dan menyumbang RM1.34 bilion kepada PNK.

Ia akan mewujudkan peluang pekerjaan bagi 4,712 orang.

Artikel Berikut

Artikel Lain