suria

Lelaki Mati Lemas Ketika Berkelah Di Hutan Lipur

KUANTAN: Seorang pemuda ditemui mati lemas di kawasan perkelahan Hutan Lipur Bekelah, Paya Bungor dekat Gambang, petang Ahad.

Mayat Mohd Hafeez Bahari, 20, dari Kampung Jawa, Kuantan ditemui 5.05 petang Ahad selepas lemas kira-kira 11.30 pagi.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata sebelum kejadian, mangsa bersama tujuh rakannya pergi ke kawasan perkelahan itu untuk mandi-manda.

"Ketika mandi di kawasan berkenaan, mangsa dikatakan lemas dan cuba diselamatkan rakannya tapi gagal," katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.

Pasukan bomba dan penyelamat dari balai Kuantan, Taman Tas dan Gebeng melancarkan operasi mencari mangsa dan menemui mayatnya di dasar sungai tempat mangsa dilapor lemas.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain