suria

JSJN Rampas Pil Kuda

KOTA BAHARU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan merampas 4,092 biji pil kuda bernilai RM143,220 dalam serbuan ke sebuah rumah di Kampung Mentangga, Bukit Panau, Tanah Merah, Jumaat lepas.

Ketua JSJN Kelantan, Supt Amran Ramli berkata dalam serbuan kira-kira pukul 6.50 pagi itu, pihaknya menahan dua lelaki dipercayai ketua sindiket dikenali '2S' yang aktif mengedarkan dadah di sekitar jajahan Tanah Merah, Pasir Mas, Kuala Krai, Gua Musang dan Kota Baharu.

"Pihak kami berjaya merampas 100 biji pil, disyaki jenis pil kuda di atas rak dalam sebuah bilik di rumah tersebut, dan menemui 3,992 pil lagi dadah jenis sama yang diletakkan dalam peti sejuk.

"Antara barangan lain yang disita ialah wang tunai berjumlah RM25,400, sebuah Perodua Kancil dan motosikal jenis Yamaha 125Z. Jumlah keseluruhan sitaan kira-kira RM300,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sinim Ahad.

Amran berkata pihaknya menahan dua bersaudara itu masing-masing berumur 24 dan 22 tahun bekerja sebagai penjual ayam proses dan mekanik motosikal.

Kedua-dua suspek ditahan reman bermula 25 Mei hingga 1 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Amran berkata tangkapan dan rampasan itu adalah lanjutan Operasi Jala yang bermula pada Disember tahun lalu membawa kepada tertangkapnya tiga anggota sindiket terbabit pada Februari lepas.

"Pihak kami kini giat memburu tiga lagi suspek yang dipercayai menganggotai sindiket berkenaan dan dapat melumpuhkan sindiket pengedaran pil kuda di beberapa daerah di Kelantan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain