suria

Edar Kokain: Pembantu Rumah Warga Filipina Ke Tali Gantung

SHAH ALAM: Seorang pembantu rumah warga Filipina dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Isnin setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis kokain di Hentian Puduraya (kini Pudu Sentral), Kuala Lumpur, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak membuat keputusan tersebut terhadap Eliza Sans Gabrier, 45, selepas pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata pembelaan wanita itu hanya merupakan penafian semata-mata dan mahkamah tiada pilihan melainkan menjatuhkan hukuman mati mandatori di bawah kesalahan mengedar dadah.

Eliza dituduh mengedar kokain seberat 1.12kg di stetsen bas berkenaan pada pukul 8.50 pagi, 28 Ogos, 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Eliza, yang berdiri di kandang tertuduh, dilihat tidak memberi reaksi sejurus keputusan dibacakan dan hanya menutup mukanya dengan sehelai tuala putih ketika jurubahasa menjelaskan kepadanya mengenai hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

Sepanjang perbicaraan kes itu, seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim manakala wanita itu diwakili peguam N.Subramanyam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain