suria

Pemuda Umno Bahagian Lembah Pantai Nafi Dakwaan Cetus Keganasan

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Lembah Pantai menolak dakwaan melakukan keganasan ketika ceramah Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada malam Khamis.

Ketua Pemudanya, Datuk Mohd Sazali Kamilan berkata, situasi menjadi tegang selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan provokasi dalam ceramahnya.

"Namun penyokong kami turut cedera. Adalah tidak adil menyalahkan kami sepenuhnya di atas apa yang berlaku. Terlalu ramai orang di sana dan kami tidak pasti siapa memulakan keganasan.

"Terdapat kira-kira 100 ahli Pemuda Umno dalam ceramah itu. Kami berada di sana untuk mendengar apa yang mereka perkatakan," katanya pada sidang media di sini.

Beliau mendakwa Anwar mengeluarkan kata-kata kesat mengenai Umno dan hanya selepas itu barulah batu, telur dan botol air dilemparkan ke arah orang ramai.

Mohd Sazali turut menafikan bahawa Anwar mengeluarkan komen-komen tersebut hanya selepas keganasan berlaku.

PKR mendakwa ceramah yang dihadiri Anwar di Lembah Pantai pada malam Khamis bertukar menjadi insiden keganasan apabila segelintir individu bertindak melempar batu, telur dan botol air menyebabkan beberapa penyokong PKR cedera.

Beberapa pemimpin PKR mendakwa ahli Pemuda Umno melakukan keganasan tersebut.

Artikel Lain