suria

Pembantu Rumah Larikan Barang Kemas Anak Ketua Wanita Umno Dipenjara

PETALING JAYA: Pembantu rumah warga Indonesia yang melarikan diri bersama dua set barang kemas milik anak perempuan Ketua Wanita Umno Wilayah Persekutuan Datuk Azizah Abd Samad Isnin lalu, pada Jumaat dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Sulismawati, 30, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Ahmad Solihin memerintahkan Sulismawati menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 Mei lalu. Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri barang kemas milik Zalilawati Osman, 33, yang bernilai kira-kira RM50,000 di No. 44, Jalan SS 7/4, Kelana Jaya di sini pada pukul 3.15 petang, 21 Mei lalu.

Bagi pertuduhan tersebut Sulismawati yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Sulismawati merayu kepada mahkamah agar dikenakan hukuman yang ringan. "Saya merayu tuan, ringankan hukuman ke atas saya. Saya mahu pulang ke kampung untuk jumpa anak saya yang sedang sakit," katanya berkali-kali dengan nada sebak.

Mengikut laporan akhbar sebelum ini, kejadian itu disedari Azizah dan Zalilawati selepas pulang dari pejabat apabila mendapati Sulismawati tiada di rumah.

Curiga dengan ketiadaan pembantu rumahnya itu, Zalilawati kemudian memeriksa biliknya di tingkat atas dan mendapati dua set barang kemas yang disimpan di dalam laci hilang.

Wanita itu bagaimanapun berjaya ditangkap polis keesokan harinya selepas mendapat maklumat daripada orang ramai yang dia bersembunyi di sebuah rumah di Kampung Melayu Subang dekat sini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat. -BERNAMA

Artikel Lain