Pekerja Kontrak Maut Kereta Rempuh Pokok - Semasa | mStar

Pekerja Kontrak Maut Kereta Rempuh Pokok

DUNGUN: Seorang lelaki maut apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Lapangan Terbang, Kampung Sura Hujung di sini awal pagi Ahad.

Risno Hariff Manaf Najid, 35, pekerja kontrak di syarikat petrokimia di Kerteh cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan kira-kira jam 1.45 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan selepas melalui satu selekoh sebelum merempuh sebatang pokok.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah adiknya di Kampung Sura Hujung selepas selesai minum bersama rakannya di Bandar Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, jenazah mangsa telah dihantar ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum dituntut keluarganya untuk urusan pengkebumian.

Beliau turut menasihati pemandu supaya berhati-hati terutama pada musim cuti persekolahan berikutan terdapat peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain