suria

Malaysia Bakal Jalin Kerjasama Koperasi Dengan Lima Negara Asean

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjalinkan kerjasama dengan lima negara Asean membabitkan sektor koperasi dalam bidang pertanian, penternakan dan pelancongan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerjasama dengan Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan Vietnam itu adalah permulaan ke arah memperluaskan bidang koperasi negara ke peringkat antarabangsa.

"Buat masa ini kerjasama yang bakal dimeterai dalam bentuk Memorandum Persefahaman ini masih pada peringkat bertukar-tukar draf untuk diteliti oleh negara Asean lain.

"Namun secara dasarnya semua menteri koperasi dari negara Asean menyambut baik saranan kita untuk mengadakan networking ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) ke-28, di sini Sabtu.

Katanya Malaysia juga bersedia memperluaskan jaringan kerjasama itu dengan negara Asean lain selepas ini.

"Jika dilihat jumlah ahli koperasi dan jumlah koperasi di negara-negara Asean, ianya begitu besar namun di Malaysia agak kecil, justeru jika kerjasama ini berjaya sudah tentu peluang yang lebih besar dan baik bakal diperoleh oleh koperasi dan ahli-ahlinya," katanya.

Ismail Sabri berkata setiap negara terbabit mempunyai kepakaran dalam bidang berbeza dan pasti akan membantu mempertingkatkan lagi sektor koperasi negara.

"Di Indonesia koperasi mereka punya kepakaran dan kapasiti dalam bidang pertanian dan penternakan, di Thailand pula kita lihat potensi besar dalam bidang pelancongan manakala Brunei sangat berminat untuk menjalinkan kerjasama berkenaan bidang pajak gadai islam...semua itu akan kita teliti," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain