suria

Dua Bank Utama Sertai Usaha Banteras Penipuan Perbankan Dalam Talian

KUALA LUMPUR: Dua bank utama di negara ini bergabung tenaga untuk membanteras penipuan perbankan dalam talian yang lebih berkesan.

Ia dimulakan dengan Maybank dan CIMB Bank yang mengambil satu siri iklan halaman penuh dalam akhbar The Star bagi memberi amaran kepada orang ramai terhadap skim penipuan perbankan dalam talian.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Lim Hong Tat berkata, inisiatif itu merupakan satu permulaan kepada kempen industri yang akan datang terhadap perbankan Internet oeh Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia.

"Iklan merupakan satu lagi cara untuk membuatkan pelanggan sedar bahawa terdapat cubaan untuk memperdaya mereka dengan mendedahkan butiran akaun mereka.

"Kami menerima maklum balas daripada pemegang akaun yang mengatakan mereka sering menerima emel yang mendakwa mereka daripada bank, mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan butir-butir akaun mereka."

Lim menegaskan bahawa Maybank tidak pernah menelefon, emel atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pemegang akaun bagi mendapatkan butir-butir peribadi atau akaun seperti nama pengguna dan kata laluan atau memberitahu mereka untuk mengemas kini butiran akaun secara dalam talian.

Di laman web Maybank2u, pengguna perlu klik "OK" pada mesej amaran mengenai penipuan dalam talian sebelum mereka boleh login ke akaun mereka.

Ketua Perkhidmatan Runcit Kewangan CIMB Bank, Peter England berkata, penipu itu bukan sahaja menjejaskan perbankan Internet tetapi juga Perkhidmatan Teleperbankan.

"CIMB Bank dan Maybank membelanjakan jumlah yang besar setiap tahun untuk memastikan bahawa laman-laman Internet kami adalah selamat.

"Kami terus memantau urus niaga yang mencurigakan. Bagaimanapun, kita tidak boleh mengawal keadaan itu sepenuhnya sekiranya pelanggan memberi respon kepada emel yang tidak dihantar oleh bank atau jika mereka tidak menjaga komputer mereka bebas daripada virus dan malware.”

Sementara itu, Pengarah eksekutif ABM, Chuah Mei Lin pula berkata, bank-bank "perlu mematuhi satu garis panduan dengan tegas apabila menawarkan perkhidmatan e-perbankan serta mematuhi prinsip-prinsip pentadbiran perkhidmatan e-perbankan selaras dengan tahap risiko mereka".

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, polis berhubung dengan pegawai di bank untuk memantau penipuan perbankan dalam talian, sambil menambah satu jawatankuasa ditubuhkan bersama ABM untuk menangani aktiviti penipuan dalam talian dan luar talian.

Artikel Lain