suria

Projek Lebuh Raya Sg Besi-Ulu Kelang Akan Dikaji Semula - Shaziman

PORT DICKSON: Pihak Lembaga Lebuh Raya Malaysia akan melihat kembali status projek Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang, kerana terdapat aduan dan rungutan orang ramai terutama jika jajaran lebuh raya itu melalui kawasan perumahan bagi memastikan ia tidak sampai menjejaskan keharmonian sesuatu kawasan perumahan itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shahziman Abu Mansor berkata walaupun jajaran lebuh raya itu hampir dimuktamadkan, namun pihak Lebuh Raya Malaysia diminta supaya melihat aduan dan rungutan orang ramai berkenaan projek berkenaan.

Mengenai projek menyiapkan kerja tertinggal itu yang melibatkan kos RM164.2 juta, beliau berkata projek itu sepatutnya siap pada 2007 dan kini dijadual semula untuk siap hujung tahun ini dengan pelantikan kontraktor baharu tahun lepas.

Sementara itu, Shaziman berkata terdapat hanya empat projek 'sakit' Kementerian Kerja Raya dalam tempoh perancangan 2012-2013 Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan keadaan itu dianggap dalam kawalan.

Dari segi peratus, katanya, projek sakit itu hanya 2.3 peratus daripada keseluruhan projek yang dilaksanakan.

Projek sakit didefinisikan sebagai projek yang kemajuan pelaksanaanya mengalami kelewatan melebih dua bulan atau 20 peratus dari tarikh atau jadual yang ditetapkan mengikut mana yang terdahulu dan kontraktor tidak berupaya memperbaiki prestasinya.

"Empat projek itu ialah jalan penghubung ke Pusat Pentadbiran Persekutuan Baru Sarawak melibatkan kos RM126.9 juta, membina pejabat Kerja Raya Tambunan, Sabah (RM2.3 juta), menaiktaraf jalan dari persimpangan Bunga Cengkih ke persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur ke Sungai Lembing, Pahang (RM33 juta) dan Bangunan Gunasama Persekutuan Klang, Selangor (24.6 juta)," katanya di sini, Jumaat.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja projek menyiapkan kerja tertinggal pembinaan jalan baharu dari Lebuh Raya Seremban-Port Dickson ke laluan 5 dari Pasir Panjang dan menaiktaraf laluan persekutuan dari Pasir Panjang ke Linggi.

Katanya setiap projek diteliti masalah sama ada dari segi pengurusan kontrak, masalah tapak atau utiliti, oleh jawatankuasa projek sakit, bagi memastikan masalah itu dapat diatasi dan projek kembali mengikut jadual.

"Tindakan untuk menamatkan kontrak dan melantik kontraktor penyiap akan diambil apabila masalah itu tidak dapat diatasi," katanya.

Dalam RMK-10 kementerian itu menerima 178 projek dan daripada itu, 39 projek telah disiapkan, 114 dalam pembinaan manakala 25 projek lagi masih di peringkat pembinaan. -BERNAMA

Artikel Lain