suria

PM Meriahkan Lagi Himpunan Jutaan Belia

PUTRAJAYA: Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ke tapak karnival Himpunan Jutaan Belia 2012 di sini memeriahkan lagi suasana perhimpunan orang muda, Sabtu.

Sebaik tiba pada kira-kira pukul 3 petang, pasangan itu terus menaiki trem dan dibawa melawat segmen 'My Kampung Art' yang mana Perdana Menteri dan isteri meluangkan masa mencanting serta mewarna batik sepanjang 263.3 meter.

Najib memberikan sentuhan terakhir kepada proses mencanting batik itu untuk dicatatkan dalam 'Malaysia Book Of Records' (MBR), memadamkan rekod lama batik sepanjang 180 meter.

Beliau kemudiannya menyaksikan Kawad Berirama Belia 1Malaysia yang disertai 1,201 belia, yang juga akan dicatat dalam MBR sebagai acara kawad berirama terbesar.

Antara yang menyertai kawad berirama itu ialah Institut Kraf Negara, Bomba dan Penyelamat Selangor, Cyberjaya dan Kuala Lumpur, Persekutuan Pengakap Malaysia, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Dusun Tua dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Perdana Menteri kemudian menuju segmen Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melancarkan Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat, sebelum ke segmen Japanese Fest.

Di segmen itu, beliau sempat beramah mesra dengan kira-kira 1,000 pengunjung dan suasana kawasan itu dimeriahkan lagi dengan pertunjukan nyanyian dan tarian oleh anak muda dari Jepun.

Najib meluangkan masa beberapa minit berbual dengan kumpulan 'Momoiro Clover Z' yang sedang membuat persembahan tarian anime, yang turut disertai dengan nyanyian.

Beliau kemudian melaungkan 'Arigato Gozaimasthita' (terima kasih banyak-banyak) dan juga 'Ichi Malaysia' (1Malaysia) bersama hadirin sebelum beredar ke segmen berikutnya. - BERNAMA

Artikel Lain