suria

Lajim Selar Pihak Sebar Khabar Angin Beliau Keluar Umno

SANDAKAN: Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Lajim Ukin menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebar khabar angin kononnya beliau akan keluar daripada Umno.

Anggota Parlimen Beaufort yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata tindakan pihak terbabit itu adalah supaya beliau mudah disingkirkan daripada arus politik Barisan Nasional (BN) dan Umno.

"Saya masih dalam BN, timbalan menteri dan Anggota Majlis Tertinggi Umno. Khabar angin itu disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab supaya keadaan politik menjadi ganas.

"Tetapi ini memang berlaku setiap kali menjelang pilihan raya dan bukan saya sahaja akan menghadapi keadaan itu tetapi ramai lagi akan diperkatakan untuk berhijrah dan sebagainya," kata Lajim kepada pemberita selepas melancarkan Persatuan Warisan Budaya Bumiputera Sabah (Waris) kawasan Parlimen Batu Sapi di sini, malam Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya beliau akan mengumumkan keluar daripada Umno.

Sehubungan itu, Lajim yang juga Presiden Waris, menasihatkan rakyat supaya tidak mempercayai khabar angin tersebut.

Katanya, beliau lebih gemar berjuang melalui platform Waris kerana persatuan itu berperanan menentukan masa depan masyarakat Bumiputera dan secara keseluruhan menyumbang kepada penyatuan masyarakat itu di Sabah. -BERNAMA

Artikel Lain